Walimah, walimah, walimah...

Sekarang ni semua guru di sekolah-sekolah sdg bercuti, termasuklah saya. Bestnyer cuti. He3. Selain dari makan, tido, ngadap internet, hantar adik gi tuisyen, window shopping, shopping2, he3, aktiviti lain yang saya lakukan adalah menghadiri majlis perkahwinan (walimah) sedara-mara & kwn2. Tapi ada gak yg saya tak pegi. Yela, klu dah dalam sehari ada lebih dari satu pastu tpt jauh2 mcmana nak pegi... Tapi, semalamla saya attend 2 walimah dlm satu hari. Yela dekat jer kan... Di sini saya uploadkan gambar2 perkahwinan mereka...
Ni walimah kwn saya Mahathir Abd. Wahid & pasangannya (tak tau nama lak). Mahathir ni kwn sepengajian & kwn serumah masa kat UM dulu. Ni majlis sebelah pihak lelaki yang diadakan di Kg. Melayu Majidee, JB. Yang pakai kemeja biru jalur2 n yg bertudung pink tu berseri2 je kan. Yela, lepas ni walimah dorang lak menyusul.
Yg ni lak walimah sepupu sy Alisa dengan pasangannya Aris. Ni majlis sebelah pihak lelaki yang di adakan di Tangkak, Muar. Dorang ni match maker by kakak Alisa, kak Ayu. Alisa ni tua setahun je dr saya. So, dorang kate Alisa dah lepas, so lepas ni turn sy la pulak... Walau sampai ke Perlis pun dorang akan hantar... He3.
Yg ni lak walimah Basidh & Afifah. Basidh org Penang. Afifahlak org JB. Kira cinta Utara-Selatan la ni. He3. Basidh kwn sepengajian kat UM. Afifahlak junior sy masa kt UM. Majlis ni sebelah pihak perempuan yg diadakan di Kg. Tarom, JB. Tapi, yg walimah di Penang, sorile cheq tak pila Basidh no...

Yg ni lak walimah Siti Aminah & Zulkefli. Dua2 kwn sy. Aminah kwn sy sejak di sekolah rendah. Zul lak kwn sy sejak jadi cikgu ni. Dorang ni mengajar di sekolah yg sm. Kira bercinta kat sekolah la ni. He3. Dalam gambar ni, sorang je yg belum kawin, sape ek?. He3.
Doakan agar mereka bahagia...

3 comments:

Teks Pengacara Majlis - Majlis Perkahwinan Mohd Fairuz & Delima

Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di Pulau Pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu
Samalah cantik samalah padan

Diiringi paluan kompang, berjalan ke arah Dewan, pasangan pengantin yang segak lagi bergaya, yang cantik lagi menawan, pasangan Raja Sehari; Mohd Fairuz bin Samad dan Delima binti Hj. Osman.

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian, apa yang dapat kita saksikan kini, adalah persembahan silat pengantin untuk kedua-dua mempelai.

Bunga mawar cantik berseri
Dipetik juragan dibawa ke pekan
Tarian kuda kepang nama diberi
Marilah bersama kita saksikan

Anak Cina memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Selasih
Pasangan pengantin segak melangkah
Mara menuju mahligai kasih

Berarak masuk ke dalam Dewan, pasangan raja sehari; Mohd Fairuz bin Samad dan Delima binti Hj. Osman.

Hadirin dan hadirat sekalian dipersilakan untuk berdiri, bagi sama-sama kita berselawat ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Bersarang merbah di Kuala Langat
Manis madunya pabila dimakan
Suasana meriah bertambah hangat
Tarian zapin kami persembahkan

Hadirin dan hadirat sekalian, Majlis seterusnya ingin mempersilakan kepada kedua-dua mempelai bersama pengapit mereka dan wakil ahli keluarga kedua-dua mempelai untuk naik ke atas pentas dan duduk di Meja Kasih yang telah disediakan. Dipersilakan.

Dipersilakan juga kepada ahli keluarga yang lain untuk duduk di meja yang telah disediakan.

Dari Raub pergi ke Pontian
Terus pula ke Kuala Perlis
Harap semua berikan perhatian
Mohon saya mulakan majlis

BismilLahir Rahmanir Rahim
Assalamu `Alaikum W.B.T.

Hari ini menugal jagung
Hari esok memintal tali
Hari ini kita berkampung
Meraikan mempelai dua sejoli

Di malam hari terang senegeri
Memberi cahaya di tengah balai
Majlis indah bertambah seri
Untuk meraikan kedua mempelai

Yang dihormati Ustaz Samad bin Hj. Misbah dan Puan Siti Mariam binti Hj. Dayat, selaku tuan rumah kepada Majlis Perkahwinan kita pada hari ini, yang diraikan pasangan mempelai; Mohd Fairuz bin Samad dan Delima binti Hj. Osman, yang dihormati ahli keluarga, saudara-mara, bekas-bekas guru dan rakan-rakan kedua-dua mempelai, hadirin dan hadirat para tetamu yang diRahmati Allah S.W.T. sekalian.

Selamat datang ke :

Majlis Perkahwinan Mohd Fairuz bin Samad dan Delima binti Hj. Osman.

Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara

Burung Nuri hinggap di balai
Balai seri buatan Pak Tua
Tempat berehat rakan dan taulan
Duduk tersenyum kedua mempelai
Menadah tangan memanjatkan doa
Moga jodoh sentiasa berkekalan

Dengan itu, bagi memohon majlis ini diBerkati dan diRahmati Allah, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Ustaz Khairul Anuar bin Samad. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Khairul Anuar bin Samad di atas bacaan doa sebentar tadi.

Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenalan kemudian bertunang
Akad dilaksana sama bersatu

Anak Cina mengail patin
Mengail patin di tepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin
Tanda gembira penuh di hati

Menyingkap bibit-bibit perkenalan pasangan pengantin ini, mereka mula berkenalan pada tahun 2001 ketika sama-sama menuntut di UNITAR, Johor Bharu. Perkenalan yang tidak disengajakan itu, akhirnya memutikkan rasa cinta dalam hati kedua-dua pasangan ini.

Setelah mengenal hati budi masing-masing dan mendapat restu keluarga, mereka mengikat tali pertunangan pada November 2007. Dan pada hari yang penuh bermakna ini, janji sepakat yang telah dibuat telah ditunaikan di dalam Majlis yang penuh berbahagia ini.

Untuk pengetahuan semua, kedua-dua mempelai ini telah selamat diijabkabulkan pada 9 Ogos 2008 iaitu pada hari semalam dan telah dilangsungkan Majlis Walimatul `Urus di sebelah pihak perempuan.

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah Majlis jika tidak ada yang berbicara

Dengan itu, Majlis ingin mempersilakan kepada En. Mohd Fauzi bin Samad, selaku wakil bagi pihak pengantin lelaki untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada En. Mohd Fauzi bin Samad di atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Seterusnya Majlis ingin mempersilakan kepada dot.dot.dot. selaku wakil bagi pihak pengantin perempuan untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada dot.dot.dot. di atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Kepada pasangan pengantin, itulah sebentar tadi luahan rasa hati daripada wakil kedua-dua belah pihak mendoakan agar ikatan yang terbina akan sentiasa diBerkati dan diRahmati Allah S.W.T.

Sesungguhnya manusia itu sememangnya memerlukan kepada cinta. Kerana cinta itu, menjadikan hidup manusia lebih bermakna, bahagia dan sempurna apatah lagi melalui ikatan perkahwinan yang dituntut agama.

Tiup serunai di atas kota
Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta
Cinta tersemai di dalam hati

Untuk memeriahkan lagi Majlis Perkahwinan kita pada hari ini, marilah sama-sama kita dengarkan nyanyian yang akan dipersembahkan oleh Pn. Hjh. Norazrah binti Ayub sebagai hadiah yang cukup istimewa buat kedua-dua mempelai kita. Lagu yang akan dipersembahkan ialah dot.dot.dot.

Itulah sebentar tadi nyanyian yang telah dipersembahkan oleh Pn. Hjh. Norazrah binti Ayub. Terima kasih diucapkan.

Puan dibawa ke Gunung Ledang
Dibawa dengan penuh beradab
Pinggan mangkuk telah terhidang
Kini masa makan beradab

Majlis diteruskan dengan acara kemuncak kita pada hari ini iaitu majlis makan beradab. Sebelum itu, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa makan beradab yang akan dibacakan oleh dot.dot.dot. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada dot.dot.dot. di atas doa yang telah dibacakan sebentar tadi.

Semerbak bunga seroja
Dibelai dara pingitan
Lauk pauk penuh semeja
Jemput mempelai menikmati hidangan

Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas daripada Raja Sehari dan ahli keluarga buat semua, atas kesudian hadir dan memeriahkan Majlis kita pada hari yang penuh keberkatan ini.

Tanam langguna tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuknya mati
Budi semua tak kami lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Tuan puteri tersenyum-senyum
Melihat laksamana bermain rodat
Senyum-senyum jangan tak senyum
Sudah sempurna segala adat

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Mohon maaf atas segala kekurangan semasa mengacarakan Majlis ini. Berjumpa kita lagi pada masa yang akan datang. Saya mengucapkan salam hormat buat semua, wabilLahit Taufiq walHidayah wasSalamu `Alaikum W.B.T. Saya serahkan kembali kepada rakan saya En. Ashaari. Dipersilakan.

Oleh : Noor Azaref bin Naim (Master of the ceremony of the day)
10 Ogos 2008
Di Dewan Seri Sayong, Felda Sungai Sayong, Kulai, Johor

p/s - Sila gunakan, tidak perlu mendapatkan keizinan saya. Moga dapat jadi panduan kepada pengacara-pengacara majlis.

157 comments:

Teks Pengacara Majlis - Majlis Persaraan Guru Besar

Mengumumkan ketibaan Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan diiringi dif-dif kehormat masuk ke dalam dewan.

Pagi yang indah penuh ceria
Hari yang berbahagia penuh bermakna
Kami bawakan kepada anda Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan En. Abdull Mutalib bin Denan, Guru Besar SK LKTP Sg. Sayong.

BismilLahir Rahmanir Rahim
Assalamu `Alaikum W.B.T.

Yang Berusaha
Tn. Hj. Mohmad Hairin bin Basiran
Guru Penolong Kanan 1
SK LKTP Sungai Sayong

Yang Berusaha
Pn. Hjh. Fatimah binti Hashim
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
SK LKTP Sungai Sayong

Yang Berusaha
En. Rahmat bin Ibrahim
Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum
SK LKTP Sungai Sayong

Yang Dihormati
En. Abdul Aziz bin Hj. Redwan
Pegawai Pelajaran Daerah Kulai

Yang Dihormati
En. Mohd Rosli bin Othman
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kulai
Bahagian Menengah

Yang Dihormati
Tn. Hj. Muhammad bin Salleh
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kulai
Bahagian Rendah

Yang Dihormati
En. Mohd Azmi bin Abdul Rahman
Pegawai Maklumat
Pejabat Pelajaran Daerah Kulai

Yang Dihormati
Barisan Guru Besar dan Pengetua
Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah
Daerah Kulai

Yang Dihormati
En. Abdul Naser bin Bedu
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru
SK LKTP Sungai Sayong

Yang Dihormati
En. Md. Sukor bin Marzuki
Pengerusi Jawatankuasa Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai”
dan seluruh ahli jawatankuasanya

Yang Diraikan
En. Abdull Mutalib bin Denan
Guru Besar SK LKTP Sg. Sayong

Seterusnya
Barisan guru, murid-murid, hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian.

Selamat datang ke :
Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan, Guru Besar SK LKTP Sg. Sayong.

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara

Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati

Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Tn. Hj. Jaafar bin Ahmad.

Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.

Amin Amin Ya Rabbal `Alamin

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tn. Hj. Jaafar bin Ahmad atas bacaan doa itu tadi.

Jasamu dikenang
Budimu tak terbilang
Semangatmu dijulang
Kepimpinanmu gemilang

Begitulah yang boleh kita perkatakan atas segala bakti dan kepimpinan yang dilakukan oleh Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan sepanjang perkhidmatan beliau di dalam dunia pendidikan yang berakhir sebagai Guru Besar di SK LKTP Sungai Sayong.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian

Tiap pertemuan pasti ada perpisahan
Itu adat, itu lumrah kehidupan
Begitulah rentetan perjalanan
Walau sukar untuk ditelan
Tapi kaki tetap mengorak jalan
Selagi hayat dikandung badan

Untuk itu, marilah sama-sama kita saksikan persembahan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan.

Itulah sebentar tadi dapat kita saksikan persembahan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan. Mudah-mudahan ianya dapat memberi sumber inspirasi buat kita semua.

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah Majlis jika tidak ada yang berbicara

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berusaha Tn. Hj. Mohmad Harin bin Basiran, Guru Penolong Kanan 1, SK LKTP Sungai Sayong. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berusaha Tn. Hj. Mohmad Hairin bin Basiran atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada Yang Dihormati En. Abdul Naser bin Bedu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK LKTP Sungai Sayong untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati Tn. Hj. Abdul Naser bin Bedu atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada yang Dihormati En. Abdul Aziz bin Hj. Redwan, Pegawai Pelajaran Daerah Kulai untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada yang Dihormati En. Abdul Aziz bin Hj. Redwan atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Seterusnya, tibalah waktu yang kita nanti-nantikan iaitu ucapan daripada Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan. Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan.

Majlis merakamkan setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan atas ucapan itu tadi.

Sudah teradat si anak lelaki
Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat

Bagi memeriahkan lagi Majlis kita pada hari ini, marilah sama-sama kita saksikan persembahan daripada kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Little Khalifah. Mereka akan mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk “Jasamu Dikenang” dan mendendangkan 2 buah lagu yang bertajuk “Terlalu Indah” dan “Bertemu dan Berpisah”.

Itulah sebentar tadi kumpulan Little Khalifah yang telah menampilkan sebuah pesembahan yang cukup istimewa.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan buat insan yang kita raikan pada hari ini iaitu Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan.

Sebelum itu, Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada Tn. Hj. Mohmad Hairin bin Basiran, Guru Penolong Kanan 1, SK LKTP Sungai Sayong untuk mengiringi Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan untuk menerima cenderamata kenang-kenangan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Kita akan mulakan dengan penyampaian cenderamata daripada wakil-wakil kelas.

Dipersilakan wakil daripada kelas Pra-sekolah 1

Dipersilakan wakil daripada kelas Pra-sekolah 2

Dipersilakan wakil daripada kelas Pendidikan Khas

Dipersilakan wakil daripada kelas 1 Cemerlang

Dipersilakan wakil daripada kelas 1 Gemilang

Dipersilakan wakil daripada kelas 2 Cemerlang

Dipersilakan wakil daripada kelas 2 Gemilang

Dipersilakan wakil daripada kelas 3 Cemerlang

Dipersilakan wakil daripada kelas 3 Gemilang

Dipersilakan wakil daripada kelas 4 Cemerlang

Dipersilakan wakil daripada kelas 4 Gemilang

Dipersilakan wakil daripada kelas 5 Cemerlang

Dipersilakan wakil daripada kelas 5 Gemilang

Dipersilakan wakil daripada kelas 6 Cemerlang

Dipersilakan wakil daripada kelas 6 Gemilang

Seterusnya Majlis mempersilakan kepada Yang Dihormati Tn. Hj. Abdul Naser bin Bedu untuk menyampaikan cenderamata daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SK LKTP Sungai Sayong.

Dan yang terakhir, Majlis mempersilakan kepada Yang Dihormati En. Md. Sukor bin Marzuki untuk menyampaikan cenderamata daripada Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan SK LKTP Sungai Sayong.

Itulah tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan khusus untuk Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan.

Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan atas kesudian menerima cenderamata itu tadi. Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Berusaha Tn. Hj. Mohmad Hairin bin Basiran mengiringi Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan sebentar tadi.

Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penyampai cenderamata sebentar tadi.

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah

Untuk pengetahuan semua, Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan turut berbesar hati untuk menyampaikan cenderamata kenang-kenangan khusus daripada beliau sendiri.

Justeru itu, sekali lagi Majlis ingin menjemput dan mempersilakan kepada Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan untuk menyempurnakan upacara tersebut.

Yang pertama, dipersilakan kepada Yang Dihormati En. Md. Sukor bin Marzuki selaku wakil daripada Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan SK LKTP Sungai Sayong.

Seterusnya, dipersilakan kepada Yang Berusaha Tn. Hj. Mohmad Hairin bin Basiran selaku wakil Pentadbiran SK LKTP Sungai Sayong.

Seterusnya, dipersilakan kepada En. Abdul Aziz bin Hj. Redwan, Pegawai Pelajaran Daerah Kulai.

Seterusnya, dipersilakan kepada En. Mohd Rosli bin Othman, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kulai Bahagian Menengah.

Seterusnya, dipersilakan kepada Tn. Hj. Muhammad bin Salleh, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kulai Bahagian Rendah.

Dan yang terakhir, dipersilakan kepada En. Mohd Azmi bin Abdul Rahman, Pegawai Maklumat, Pejabat Pelajaran Daerah Kulai.

Itulah sebentar tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan daripada Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan.

Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara.

Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Tuai padi antara nampak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Dengan itu, berakhirlah sudah Majlis kita pada hari ini. Sebelum bersurai, kita akan menyaksikan buat kali terakhirnya Yang Diraikan En. Abdul Mutalib bin Denan akan menandatangani buku rekod kehadiran sebagai tanda berakhirnya tugas rasmi beliau di dalam dunia pendidikan ini.

Majlis juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan kerana sudi untuk bersama kita pada hari yang penuh bermakna ini dan kami semua mendoakan agar Yang Diraikan En. Abdull Mutalib bin Denan bertambah ceria dan bahagia di dalam kehidupan seharian.

Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu dan hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama memeriahkan Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” ini.

Dikesempatan ini juga, kami ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang kami mengacarakan Majlis ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Sekian sahaja, salam hormat, Wa BilLahit Taufiq walHidayah Wassalamu `Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh.

Oleh : Noor Azaref bin Naim
SK LKTP Sungai Sayong
81000 Kulai, Johor
12 September 2008

p/s : Sila gunakan, tidak perlu mendapatkan keizinan saya. Moga dapat jadi panduan kepada pengacara-pengacara majlis.

112 comments: