Kisah Ketabahan Nabi Ayub `Alaihis Salam


Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamu `Alaikum wa RahmatulLahi wa Barakatuh.

Terima kasih kepada Pengerusi Majlis. Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan, hadirin dan hadirat, muslimin dan muslimat yang diRahmati Allah sekalian.

Pada hari ini, saya ingin menyampaikan sebuah kisah yang bertajuk “Ketabahan Nabi Ayub `Alaihis Salam”.

Nabi Ayub `Alaihis Salam terkenal dengan kekuatan imannya. Sehingga ianya telah menimbulkan rasa cemburu kepada iblis laknatulLah. Iblis juga berasa sakit hati apabila mendengar para malaikat asyik memuji Nabi Ayub `Alaihis Salam. Iblis lalu menggoda dan merayu kepada Nabi Ayub `Alaihis Salam supaya meninggalkan suruhan Allah dan berhenti beribadat. Setelah semua godaan yang dilakukan oleh iblis itu tidak berjaya, iblis telah menemui Allah lalu berkata, “Tuhan, Ayub itu sebenarnya tidak ikhlas sujud kepada-Mu. Dia cuma inginkan nikmat kekayaan dan anak-anak sebagai pewarisnya sahaja”.
lk
Mendengar kata-kata iblis itu, maka Allah ingin membuktikan kepada iblis bahawa Nabi Ayub `Alaihis Salam itu sememangnya seorang yang beriman, sabar dan tabah dalam menghadapi sebarang dugaan. Lalu, Allah telah memberikan kebenaran kepada iblis supaya menghasut Nabi Ayub `Alaihis Salam agar lalai dalam beribadat.

Lihatlah kawan-kawan! Walaupun iblis berkali-kali menghasut dan menggoda Nabi Ayub `Alaihis Salam untuk meninggalkan suruhan Allah, namun ia tetap mempertahankan hak dan prinsip yang dianutinya, demi rasa cintanya kepada Allah Yang Maha Agung. Ini semua adalah hasil keimanan yang dimiliki oleh Nabi Ayub `Alaihis Salam, yang telah mendidik jiwa dan raganya agar tidak tunduk kepada hasutan iblis dan syaitan.

Namun kita sungguh berasa sedih. Apa yang berlaku kepada pemuda-pemudi hari ini, mereka terlalu mudah untuk terpengaruh dengan kuasa jahat iblis dan syaitan yang menyesatkan seperti pengaruh black metal, skinhead dan sebagainya lagi yang boleh merosakkan aqidah. Dan ada kes menyebutkan, kerana cintakan pemuda berlainan agama, seorang anak gadis sanggup keluar daripada agama Islam yang dianuti serta sanggup untuk membuang keluarga yang mengasihinya selama ini.

Apa yang berlaku seterusnya ya? Untuk pengetahuan kawan-kawan, iblis telah memusnahkan segala harta benda Nabi Ayub `Alaihis Salam sehingga Nabi Ayub `Alaihis Salam menjadi seorang muflis. Iblis juga berjaya memusnahkan kediaman Nabi Ayub `Alaihis Salam sehingga roboh dan binasa. Anak-anak Nabi Ayub `Alaihis Salam yang berada di dalam rumah itu kesemuanya meninggal dunia dalam keadaan yang sungguh mengerikan.

Setelah berjaya memusnahkan semuanya, iblis menyamar sebagai seorang lelaki dan bertanya kepada Nabi Ayub `Alaihis Salam, “Wahai Ayub, lihatlah keadaanmu sekarang. Hilang segala harta benda dan anak-anak yang kau miliki selama ini, sedangkan engkau adalah hamba Allah yang kuat beribadat. Tidak guna engkau kuat beribadat kerana Allah Yang Maha Berkuasa itu pun tidak mahu menyelamatkanmu”. Namun Nabi Ayub `Alaihis Salam tahu lelaki yang bertanya kepadanya itu adalah iblis. Lalu Nabi `Alaihis Salam menjawab, “Wahai iblis, semua yang aku miliki selama ini, adalah pinjaman daripada Allah sahaja. Kini sudah tiba masanya Allah mengambilnya semula. Hanya Allah sahaja yang berkuasa di atas segala-galanya”.

Sesungguhnya kawan-kawan, manusia yang hidup di dunia ini tidak akan dapat lari daripada menerima qada’ dan qadar yang ditentukan Allah, seperti musibah-musibah yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan. Sebagai cabaran dan ujian dari Allah, ianya harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Perlu juga diingat, bahawa apabila menghadapi kesengsaraan, janganlah mudah kecewa dan putus asa.
lk
Tidak seperti masyarakat pada hari ini, segelintir daripada mereka apabila ditimpa musibah dan kesusahan, mereka mudah berasa kecewa dan tertekan, sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang tidak sewajarnya demi untuk menghilangkan rasa kekecewaan yang dialami seperti mengambil pil khayal, menghisap dadah dan sebagainya lagi. Yang lebih teruk lagi, ada yang sanggup untuk membunuh diri kerana menyangka perbuatan itulah yang dapat mengakhiri segala kekecewaan yang mereka dialami.
lk
Seterusnya apa ya? Iblis sungguh marah dan kecewa apabila usahanya untuk memesongkan akidah Nabi Ayub `Alaihis Salam menemui jalan kegagalan. Sekali lagi iblis menemui Allah untuk menyatakan perasaan kecewanya itu. Untuk kali ketiganya Allah telah mengizinkan iblis berbuat apa sahaja terhadap kesihatan Nabi Ayub `Alaihis Salam. Iblis datang kepada Nabi Ayub `Alaihis Salam dan membawa bersamanya satu penyakit yang tidak ada ubat atau penawar untuk menyembuhkannya. Kulit tubunhya habis hancur di makan ulat-ulat Nabi Ayub `Alaihis Salam terpaksa menghadapi kesakitan itu bertahun-tahun lamanya. Namun segala kesakitan itu tidak menghalang Nabi Ayub `Alaihis Salam untuk sujud kepada Allah.

Kawan-kawan, lihatlah Nabi Ayub `Alaihis Salam. Walaupun menanggung kesakitan yang tiada perinya, ia tetap tidak lupa untuk sujud menyembah Allah kerana Allah itulah yang perlu diingati selalu di kala senang mahupun susah. Bukan hanya ketika senang sahaja kita mengingati Allah, kerana menyangka Allah turut mengingati kita dengan memberikan nikmat kesenangan, namun apabila kita ditimpa kesusahan, kita melupakan-Nya, kerana menyangka Allah telah melupakan kita dengan memberikan kita kesusahan.

Namun, apa yang dapat kita lihat, sebagai contohnya apabila kita menziarahi orang sakit di hospital, kita dapati ramai di antaranya yang tidak bersolat. Pelbagai alasan diberikan, seperti sukar mengambil wudhu’, tidak boleh berdiri dan sebagainya. Bukankah Islam itu agama yang mudah. Jika kita sakit dan tidak boleh berdiri, kita boleh menunaikan solat secara duduk, baring mengiring, dan sebagainya dan jika tidak mampu cukuplah hanya sekadar di dalam hati.
lk
Apa kesudahannya ya? Melihat ketabahan Nabi Ayub `Alaihis Salam itu, iblis semakin kecewa kerana segala usahanya selama ini tidak juga berhasil. Satu lagi peluang yang masih ada ialah menghasut isteri Nabi Ayub `Alaihis Salam. Iblis telah berjaya menghasut isteri Nabi Ayub `Alaihis Salam supaya meninggalkan Nabi Ayub `Alaihis Salam seorang diri. Tinggallah Nabi Ayub `Alaihis Salam menanggung kesakitan itu seorang diri. Pada suatu hari, Nabi Ayub `Alaihis Salam telah berdoa kepada Allah supaya disembuhkan penyakitnya. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 83 :

Yang maksudnya :

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata : “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihi daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.
lk
Allah lalu mewahyukan kepada Nabi Ayub `Alaihis Salam supaya menghentakkan kakinya ke tanah supaya keluar air daripada tanah tersebut. Air yang keluar itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi agar segala penyakit yang dideritainya menjadi sembuh. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Shaad ayat 42 :

“(Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya) : “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu”, (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya) : “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin)”.

Nabi Ayub `Alaihis Salam pun melaksanakan suruhan Allah itu dan penyakitnya kembali sembuh. Keadaan tubuhnya menjadi seperti sediakala malah lebih kuat dan bertenaga sebagaimana zaman mudanya dahulu. Isteri yang meninggalkannya dahulu telah menyesal dan mengakui kesalahannya.
lk
Ini menjadi teladan buat kita semua, bahawa apabila kita mempunyai sesuatu masalah, Allahlah menjadi tempat untuk kita memohon pertolongan. Kepadanyalah kita mengadu segala masalah melalui amalan doa yang sebaik-baiknya disertai dengan ibadah solat samada yang wajib mahupun yang sunat. Sesungguhnya doa itu adalah tali yang mengikat antara manusia dengan Khaliq-Nya dan sesungguhnya doa itu adalah kekuatan bagi setiap Muslim.
lk
Bukan seperti masyarakat pada hari ini, yang segelintir daripada mereka lebih suka meminta pertolongan kepada dukun, pawang dan sebagainya, lantaran mereka merasa bahawa dukun dan pawang itu mempunyai kelebihan dan keistimewaan berbanding manusia lain. Mereka tidak sedar yang mereka itu telah mensyirikkan Allah. Sesungguhnya syirik itu merupakan perbuatan yang mendatangkan dosa besar dan tidak akan diampunkan oleh Allah. Dan sesungguhnya dukun dan pawang itu juga merupakan manusia biasa yang nasibnya ditentukan oleh Allah. Kelebihan dan kehebatannya adalah atas pertolongan dan sandaran kepada makhluk yang dikutuk Allah iaitu syaitan dan iblis laknatulLah.
lk
Sampai di sini sahajalah dapat saya sampaikan kisah “Ketabahan Nabi Ayub “Alaihis Salam”. Moga kita semua akan mendapat iktibar dan pengajaran daripada kisah yang saya sampaikan ini.
lk
Sekian sahaja, terima kasih. WabilLahit taufiq wal hidayah. Wassalamu `alaikum W.B.T. Ilal liqo’ wa ma’as salamah.
Share on Google Plus

0 comments: