Teks Pengacara Majlis - Majlis Penutupan Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009


TEKS PENGACARA MAJLIS
MAJLIS PENUTUPAN
KURSUS IMAM PELAPIS SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH
PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2009
DI SMK BANDAR TENGGARA 2, KULAI, JOHOR
16 0GOS 2009

1
Mengumumkan, ketibaan Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

2
Dari Raub pergi ke Pontian
Terus pula ke Kuala Perlis
Harap semua berikan perhatian
Mohon kami mulakan Majlis.

BismilLahirRahmanirRahim
Assalamu `alaikum wa RahmatulLahi wa Barakatuh.

Yang Berbahagia
Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan
Ketua Penolong Pengarah
Sektor Pendidikan Islam
Jabatan Pelajaran Negeri Johor

Yang Berusaha
En. Anuar bin Jais
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah
Pejabat Pelajaran Daerah Kulai
selaku wakil rasmi
Pegawai Pelajaran Daerah Kulai

Yang Berusaha
En. Khairudin bin Mustafa
Guru Penolong Kanan 1
SMK Bandar Tenggara 2
selaku wakil kepada Tuan Rumah

Yang Berusaha
Ustaz Omar bin Salleh
Ketua Unit Operasi Dakwah
Sektor Pendidikan Islam
Jabatan Pelajaran Negeri Johor

Yang Dihormati
Pegawai-Pegawai daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor

Pegawai-Pegawai daripada Pejabat Pelajaran Daerah-Daerah

barisan Pengetua

Ahli Jawatankuasa Pelaksana Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009

barisan Fasilitator

Guru-Guru Pengiring

Peserta-Peserta Kursus

hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian.

3
Selamat datang ke :

Majlis Penutupan
Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009.

4
Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara.

Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri.

Alhamdulillah, seiring kita menadah tangan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Rabbul Izzah, Tuhan Yang Maha Esa kerana dengan limpah dan izin-Nya jua, dapat kita dipertemukan dalam Majlis Penutupan Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009.

Majlis jua ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kehadiran Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Johor kerana sudi hadir merasmikan Majlis Penutupan Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009 pada pagi/ tengahari yang berbahagia ini.

5
Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian,

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati.

Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Saudara Mohd Haziq bin Kamaruddin wakil daripada Daerah Batu Pahat.

Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.

Amin Amin Ya Rabbal `Alamin. Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Saudara Mohd Haziq bin Kamaruddin atas bacaan doa itu tadi.

6
Hadirin dan hadirat sekalian,

Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009 merupakan Program yang dianjurkan oleh Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Johor, yang menghimpunkan wakil-wakil pelajar daripada sekolah-sekolah berasrama di Negeri Johor ini.

Antara objektif Program ini diadakan adalah untuk melahirkan imam yang berilmu, bersahsiah dan berkualiti tinggi.

Indah mekar si bunga kiambang
Mekar mewangi di taman larangan
Kursus Imam Pelapis harapannya gemilang
Melahirkan pemimpin ummah, beriltizam lagi berketrampilan.

7
Hadirin dan hadirat sekalian,

Marilah sama-sama kita saksikan persembahan multimedia berkenaan dengan perjalanan Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009 yang telah berlangsung mulai 14 hingga 16 Ogos 2009.

8
Hadirin dan hadirat sekalian,

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak berkat ilmu tanpa amalnya
Tak lengkaplah Majlis jika tidak ada yang berbicara.

Majlis dengan ini ingin mempersilakan kepada Saudara Haiqal Syafiq bin Mohd Tahar, selaku Penghulu bagi Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009 untuk menyampaikan ucapannya. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Saudara Haiqal Syafiq bin Mohd Tahar atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

9
Seterusnya, marilah sama-sama kita dengarkan ucapan aluan daripada Yang Berusaha En. Anuar bin Jais, Timbalan Pegawai Pelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah Kulai. Dipersilakan Tuan.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berusaha En. Anuar bin Jais atas ucapan alu-aluan yang telah disampaikan sebentar tadi.

10
Hadirin dan hadirat sekalian,

Kini, tibalah masanya untuk kita sama-sama dengarkan ucapan perasmian penutup Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009. Untuk itu, Majlis ingin mempersilakan kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan Tuan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

11
Hadirin dan hadirat Yang DiRahmati Allah sekalian,

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian sijil dan hadiah.

Untuk menyempurnakan upacara tersebut, Majlis dengan ini ingin menjemput dan mempersilakan kepada Yang Berusaha En. Anuar bin Jais, untuk mengiringi Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abdul Manan. Dipersilakan Tuan.

12
Kita mulakan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada wakil setiap Daerah.

Dipersilakan wakil daripada Daerah Kulai
diteruskan dengan wakil daripada Daerah Johor Bharu
dipersilakan wakil daripada Daerah Pasir Gudang
dipersilakan wakil daripada Daerah Kota Tinggi
dipersilakan wakil daripada Derah Kluang
dipersilakan wakil daripada Daerah Batu Pahat
dipersilakan wakil daripada Daerah Muar
dipersilakan wakil daripada Daerah Segamat
dipersilakan wakil daripada Daerah Mersing
dan dipersilakan wakil daripada Daerah Pontian.

Seterusnya adalah penyampaian sijil penghargaan kepada wakil Ahli Jawatankuasa Pelaksana, Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009.

Untuk itu, dipersilakan kepada Ustaz Aliff Ma’arof bin Sanan untuk menerima sijil penghargaan tersebut.

Seterusnya, adalah penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada peserta terbaik kategori lelaki dan perempuan, Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009.

Untuk peserta terbaik kategori lelaki, Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009 dipersilakan kepada Saudara ________________________________.

Untuk peserta terbaik kategori perempuan, Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009 dipersilakan kepada Saudari ________________________________.

Dan yang terakhirnya, adalah penyampaian sijil penghargaan kepada wakil Tuan Rumah.

Untuk itu, dipersilakan kepada Yang Berusaha En. Khairudin bin Mustafa, Guru Penolong Kanan 1, SMK Bandar Tenggara 2 untuk menerima sijil penghargaan tersebut.

13
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan di atas kesudian menyempurnakan upacara penyampaian sijil dan hadiah sebentar tadi.

14
Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian,

Sebagai tanda ucapan terima kasih di atas kesudian Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan, hadir ke dalam Majlis kita pada hari ini, dan sudi untuk menyempurnakan upacara perasmian penutup Kursus Imam Pelapis Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor Tahun 2009, Majlis ingin menyampaikan sedikit tanda penghargaan kepada beliau. Untuk itu, Majlis ingin mempersilakan kepada Yang Berbahagia En. Anuar bin Jais, untuk menyampaikan tanda penghargaan tersebut. Dipersilakan dengan segala hormatnya.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berusaha En. Anuar bin Jais di atas kesudian menyampaikan tanda penghargaan sebentar tadi.

15
Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah,

Majlis ingin merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj. Abd. Manan di atas kesudian hadir ke Majlis yang penuh bermakna ini.

Sudah teradat si anak lelaki
Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat.

Dan tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas buat semua, atas kesudian hadir memeriahkan Majlis Penutupan kita pada hari yang penuh keberkatan ini.

Tanam langguna tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuknya mati
Budi semua tak kami lupa
Sudah terpaku di dalam hati.

16
Hadirin dan hadirat sekalian,

Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi.

Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung Majlis.

17
Dikesempatan ini, kami ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang mengacarakan Majlis ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali.

Bunga mawar cantik berseri
Mekar disirami si embun pagi
Majlis Penutupan Kursus Imam Pelapis mengundur diri
Semoga tahun hadapan berjumpa lagi.

Sekian sahaja, salam hormat, wa bilLahit Taufiq walHidayah wassalamu `alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.

18
Dijemput kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohd Basari bin Hj Abd. Manan diiringi dif-dif jemputan untuk menikmati sedikit hidangan yang telah disediakan. Dipersilakan juga kepada hadirin dan hadirat sekalian untuk turut menikmati hidangan yang telah disediakan. Majlis bersurai.

Disediakan Oleh :
Ustaz Noor Azaref bin Naim
SK LKTP Sungai Sayong
Kulai, Johor

5 comments :

Anonymous said...

Assalamualaikum..bagus nyer teks pengacara majlis..boleh tak sy amik teks ustaz sebagai panduan sy utk membuat teks pengacaraan majlis penyampaian sijil dan hadiah peringkat skolah sy?

Azaref said...

Silakan...

Dyg Nuha Awg Muhd said...
This comment has been removed by the author.
Dyg.Nuha said...

Assalammualaikum,
Saya tercari-cari cara nak buat skrip utk majlis perasmian suatu acara di sekolah saya..dan terjumpa blog ustaz ini..maafkan saya jika menyalin teks pengacaraan majlis ustaz ini. Harap diizinkan didunia dan di akhirat..saya pun nak buat rujukan dan panduan. Terima kasih kerana adanya teks seperti ini.

April 8, 2010 8:55 PM

Areef said...

Wsalam...

Silakan dayang nuha. ilmu ni bukan milik saya tp milik allah. silalah guna asalkan tidak dieksploitasi pada perkara2 yg tdk benar...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...