Persoalan Ibadah Korban

In sya Allah, esok 10 Dzulhijjah 1430H, kita umat Islam akan menyambut kegembiraan kedua yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. iaitu Hari Raya Aidiladha. Di samping kita merayakannya dengan penuh kesyukuran, kita juga disunatkan untuk menjalankan ibadah korban sebagai memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyahut perintah Allah S.W.T. untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
lk
Di sebalik perlaksanaan ibadah korban ini, banyak perkara yang perlu dititikberatkan agar ibadah yang dilaksanakan itu dikira sebagai amal dan perbuatan yang akan diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T. Di sini, saya telah membuat sedikit homework berkenaan dengan kemusykilan-kemusykilan yang mungkin timbul di sebalik perlaksanaan ibadah korban ini.

1281. Assalamualaikum. Saya telah bernazar qurban (1/7 bahagian lembu) semasa anak saya menduduki peperiksaan UPSR. Alhamdullilah, setelah keputusan diumumkan, anak saya telah lulus dengan cemerlang lalu saya menunaikan nazar yang telah saya niatkan itu. Pihak pengelola telah dimaklumkan bahawa penyertaan saya adalah nazar. Saya diberikan giliran lembu yang kesembilan. Kemusyikilan timbul apabila saya diminta mengambil daging lembu dari bahagian lembu yang terdahulu (antara pertama hingga kelapan) dan daging yang saya ambil itu telah pun saya agihkan dan sebahagiannya dimakan oleh saya sekeluarga. Persoalan saya : 1. Bolehkah saya dan keluarga makan daging itu walaupun dari bahagian qurban orang lain iaitu bukan lembu ke sembilan dan apakah status nazar saya setelah memakan daging qurban itu? Saya bimbang dengan berbuat demikan nazar saya terbatal dan belum terlaksana. Harap dapat jawapan daripada pihak tuan dengan seberapa segera. Terima kasih.

Jawapan : Daging qurban nazar tidak boleh dimakan oleh orang bernazar berkenaan. Kesemua daging tersebut wajib disedekahkan kepada fakir miskin. Memakan daging qurban orang lain adalah harus. Memakan sebahagian daripada daging yang dinazarkan adalah menyalahi konsep nazar tersebut. Perbuatan berbuat demikian kerana jahil adalah dimaafkan.

1282. Assalamualaikum... Saya ada kemusykilan tentang pembahagian daging korban dan aqiqah. Bukankah tujuan daging tersebut dikorbankan atau diakikahkan adalah untuk disedekahkan kepada fakir miskin akan tetapi mengapa ada yang turut mengadakan kenduri di kalangan ahli keluarganya menggunakan sebahagian daging korban/akikah tersebut. Adakah ini dibolehkan sedangkan ada fakir miskin yang lebih berhak ke atasnya. Terima kasih.

Jawapan : 1- Akikah dan qurban adalah 2 ibadat yang sangat dituntut kepada orang-orang Islam. Oleh itu, daging akikah/kurban tersebut boleh dimakan oleh orang-orang Islam. 2- Harus orang yang melakukan ibadat akikah/qurban memakan dagingnya dan seelok-eloknya diambil 1/3 daripadanya, 1/3 lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan 1/3 lagi kepada saudara mara...

1283. Bolehkah ibadah Qurban dilakukan untuk orang yg sudah meninggal dunia? Maksudnya seperti seekor lembu dikongsi bersama nama org yg sudah meninggal dunia atau pun seekor kambing untuknya sahaja.

Jawapan : Qurban tidak sah dilakukan bagi orang yang sudah meninggal dunia kecuali ia telah mewasiatkan untuk berbuat demikian.

1284. Bolehkah seekor lembu mewakili 7 orang adik beradik dalam ibadat akikah mahupun korban?

Jawapan : Seekor lembu boleh disertai 7 orang adik beradik dalam melakukan ibadah aqiqah atau pun qorban.

1285. Bolehkah seekor lembu sebahagian dijadikan ibadah akikah & sebahagian lagi dijadikan qurban?

Jawapan : Seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian bagi melaksanakan ibadah qurban atau aqiqah. Sebahagiannya boleh dibuat qurban dan sebahagian yang lain dibuat aqiqah. Contohnya 3 bahagian dibuat qurban manakala 4 bahagian lagi dibuat aqiqah.

1286. Assalamualaikum. In sya Allah, saya bakal melahirkan anak lelaki pada bln 12 ini. Namun, berlaku konflik ttg akikah dimana suami saya memutuskan untuk memisahkan hari penyembelihan 2 ekor kambing tersebut iaitu seekor pada hari ke7 dirumah ibu saya dan seekor lagi akan disembelih di rumah ibu suami selepas saya habis pantang 40 hari. Ia dilakukan bagi menjaga hati kedua-dua belah keluarga. Apakah hukum bagi akikah tersebut?

Jawapan : Harus berbuat demikian tetapi mengikut sunnah Nabi s.a.w. yang afdalnya ialah dengan melakukan akikah pada hari ke 7 kelahiran bayi. Bagi bayi lelaki 2 ekor kambing dan seekor bagi bayi perempuan.

1287. Apa pengertian & hukum korban?

Jawapan : Pengertian qurban ialah sembelihan binatang seperti unta, kerbau, lembu, kambing dan biri-biri pada Hari Raya Qurban atau 3 hari berikutnya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum qurban ialah sunat muakkad atau sunat yang sangat dituntut bagi yang mampu melakukannya. Hukum qurban kadangkala menjadi wajib dengan sebab-sebab berikut : i. Seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang memenuhi syarat untuk dijadikan qurban sambil berkata, "Aku akan qurbankan lembu ini". ii. Seseorang bernazar hendak melakukan qurban untuk mendampingkan diri kepada Allah S.W.T. dengan berkata, "Aku mewajibkan ke atas diriku berqurban kerana Allah". Dengan kata-kata seperti di atas maka dia wajib melaksanakan qurban.

1288. SALAM... BOLEHKAH MASAKAN AKIKAH DIBERI KEPADA SELAIN MUSLIM? HARAP JELASKAN SEBAB MUSABABNYA.TKASIH.

Jawapan : Aqiqah adalah suatu amalan ibadat muslim kepada Allah S.W.T. Oleh itu aqiqah tersebut hendaklah dijamu kepada orang-orang Islam sahaja. Daging aqiqah tidak boleh dimakan oleh orang bukan Islam.

1289. TUAN YG DIHORMATI, SAYA TELAH BACA SEGALA PERSOALAN BERKAITAN AKIKAH DI RUANGAN SOAL JAWAB. SOALAN BERKENAAN KEHARUSAN DAGING AKIKAH DIMAKAN OLEH ORG BKN ISLAM DIJAWAB OLEH TUAN SEBAGAI HARAM DIMAKAN OLEH ORG KAFIR TETAPI ADA JUGA JAWAPAN TUAN YG MENGATAKAN IANYA TIDAK MENJADI HALANGAN UTK ORG BKN ISLAM MKN DAGING QURBAN ATAU AKIKAH UTK MENUNJUKKAN INDAHNYA ISLAM. BOLEHKAH TUAN BERIKAN JAWAPAN YG TEPAT TENTANGNYA. TK.

Jawapan : Haram memberi, menghadiahkan atau menjual daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir zimmi (Matla' Al-Badrain: 81). Ini adalah disebabkan menyembelih binatang qurban itu adalah merupakan ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh sebab itu, sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan, dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.
lk
Koleksi soal-jawab di atas saya peroleh daripada laman web IslamGRID; satu projek kerjasama terutamanya antara MAMPU dan JAKIM (sebagai pemilik) yang mana kedua-duanya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan beberapa agensi lain seperti MOSTI.
lk
Anda juga boleh merujuk kepada laman-laman web berikut bagi memperoleh kefahaman yang lebih jelas mengenai kemusykilan-kemusykilan yang mungkin timbul di sebalik perlaksanaan ibadah korban ini :
lk

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...