Doa Sempena Majlis Khatam al-Qur'an

Assalamu `alaikum dan salam sejahtera.

In sya Allah, pagi esok saya akan mengendalikan Majlis Khatam al-Qur'an sempena Program Ihya' Ramadan 1431H, SK LKTP Sungai Sayong.

So, di sini ingin saya kongsikan teks doa sempena Majlis Khatam al-Qur'an tu. Teks ni dalam versi Bahasa Melayu. Rujukan asal daripada Terjemahan al-Qur'an Mushaf Tajwid. Teks ni bukan versi asal, tetapi versi suntingan. Sesape yang berhajat nak menggunakannya, silalah yer!

Doa Khatam al-Qur’an


بِسْمِ اللهِ اْلرَّحْمنِ اْلرَّحِيْم.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن، وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.


Ya Allah kurniakan Rahmat al-Qur’an, jadikan al-Qur’an pemimpin, petunjuk, kasih sayang. Ya Allah ingatkan kami apa yang kami lupa, ajarlah apa yang kami jahil. Bantulah kami membacanya. Malam dan siang, jadikan al-Qur’an pegangan. Ya Allah, Pentadbir Alam.


Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami kerana dialah penjaga urusan kami, perbaikilah bagi kami dunia kami kerana di dalamnya kehidupan kami, perbaikilah bagi kami akhirat kami kerana ia tempat kembali kami, jadikanlah kehidupan sebagai kebaikan bagi kami dan jadikanlah kematian sebagai kerehatan kami daripada segala kejahatan. Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghabisannya, dan sebaik-baik amal kami adalah penutupnya dan sebaik-baik hari bagi kami adalah hari berjumpa dengan-Mu.


Ya Allah, kami memohon kepada-Mu kehidupan yang tenteram, kematian yang tenang dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan mengaibkan kami. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu sebaik-baik permohonan, sebaik-baik doa, sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu, sebaik-baik amal, sebaik-baik pahala, sebaik-baik kehidupan dan sebaik-baik kematian.


Beratkanlah timbangan kebaikan kami, teguhkanlah keimanan kami, tinggikanlah darjat kami, terimalah sembahyang kami, dan ampunkanlah segala kesalahan kami. Kami memohon ketinggian syurga-Mu, kami memohon Rahmat dan Pengampunan-Mu, keselamatan daripada segala dosa, kejayaan daripada segala kebajikan, keuntungan syurga dan keselamatan daripada neraka.


Ya Allah, perbaikilah akhir hayat kami dalam segala perkara, selamatkanlah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan di hari akhirat. Ya Allah, anugerahkanlah bagi kami ketakutan kepada-Mu yang dapat menghindarkan kami daripada berbuat maksiat kepada-Mu, ketaatan yang dapat menyampaikan kami kepada syurga-Mu, keyakinan yang dapat memberikan kami kesabaran di dalam menghadapi musibah-Mu, berikanlah kenikmatan kepada kami dengan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran yang sempurna selama hidup kami.


Janganlah Engkau jadikan dunia sebagai kecintaan kami yang paling besar. Ya Allah, janganlah Engkau tinggalkan dosa-dosa kami melainkan Engkau telah mengampuninya, janganlah Engkau tinggalkan kesusahan kepada kami melainkan Engkau telah menggembirakannya, janganlah Engkau tinggalkan hutang-hutang kepada kami melainkan Engkau telah menunaikannya, dan janganlah Engkau tinggalkan sesuatu keperluan dunia dan akhirat kepada kami melainkan Engkau telah menunaikannya, wahai Zat Yang Maha Mengasihani.


Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat dan selamatkanlah kami daripada seksaan api neraka. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad S.A.W. dan kepada keluarganya serta para sahabatnya.


آمِين، آمِين، ياَ رَبَّ الْعاَلَمِيْنَ.

0 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...